KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan Arif Aiman Mohd Hanapi semakin mendapat sentuhan terbaik selepas beraksi 90 minit menentang Sri Pahang FC, Sabtu lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini dilanda kecederaan disenaraikan buat kali pertama dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Super berdepan Sri Pahang pada 22 Jun lalu.
Bidoglio nyata berpuas hati dengan aksi yang telah ditampilkan oleh Arif bagi membantu pasukan untuk meraih tiga mata berharga selain percaya penampilannya kali ini dilihat lebih menyakinkan selepas mengharungi fasa pemulihan sebelum ini.
“Arif Aiman pertama kali beraksi selama 90 minit dan kita semua tahu sejauh mana tahap prestasi Arif.
“Dia merupakan pemain yang cukup bagus dan telah beraksi dengan cukup baik kali ini.
“Dan saya percaya untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang, prestasi Arif akan sentiasa meningkat dengan baik”, jelasnya.
Bakal berdepan Malaysian University FT untuk aksi suku akhir Piala FA pada Sabtu ini, Bidoglio menganggap perlawanan itu tetap penting untuk anak buahnya dan tidak memandang rendah keupayaan barisan pemain lawannya itu.
Bahkan, bagi beliau setiap kejohanan menjadi keutamaan JDT dan misi mereka adalah untuk memburu kejuaraan Piala FA pada edisi ini.
“Ini adalah bola sepak dan kita tetap kena bermain profesional tidak kiralah siapa pun lawan kita.
“Jadi, fokus perlu ada sebab untuk JDT, setiap trofi adalah penting dan kita kena tunjuk potensi kita dalam setiap perlawanan yang ada”, tambahnya. – MalaysiaGazette