Penduduk Taman Widuri, Halimah Ali, 59, bercakap pada media berkenaan masalah air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan Taman Widuri, Sungai Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Krisis air yang berlaku di Taman Widuri, Sungai Bakap di sini bukanlah satu perkara baharu.

Namun rata-rata penduduk taman tersebut mengharapkan ada jalan penyelesaian jangka masa panjang dibuat kerana dilema isu tersebut sudah makan tahun.

Menurut Md Saad Chik, 72, dia dan tiga ahli keluarganya berdepan kesukaran dalam menjalani kehidupan harian susulan masalah air yang membelenggu mereka sejak setahun lalu.

Md Saad Chik

Jelasnya, air di kawasan ini ibarat dikawal pihak tertentu kerana hanya waktu tengah hari dan senja bekalan akan terputus.

“Susah bila air tak ada terutamanya pada waktu solat Subuh dan Magrib.. itu rutin selalu bekalan air dari paip akan terhenti.

“Memang kami ada simpan bekalan air dalam tong tapi ia tidak cukup untuk diguna mandi serta buang air besar. Adakalanya, sampai tak mandi hanya sekadar lap badan takut air tak cukup.

“Punca sebenarnya tak ada air ini tiada pihak yang datang buat penjelasan terperinci jadi saya harap wakil rakyat bahari yang akan di pilih nanti (6 Julai ini) selesaikan isu ini agar kami dapat bekalan air seperti orang-orang lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagi suri rumah, Halimah Ali, 59, penduduk perumahan tersebut ibarat hilang suara dalam menyampaikan keluhan berkaitan krisis air.

Halimah Ali

“Semua kat sini jadi mulut longkang, marah bila tak ada sesiapa datang tanya masalah air di sini serta beri penjelasan yang jelas berkaitannya.

“Memang kita boleh simpan dalam tong tapi kalau seminggu sampai tiga kali semestinya stress. Kalau boleh kita minta wakil rakyat ambil peduli isu ini secara berterusan bukan ketika musim pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, K. Thanalaicheme yang sudah menetap lima tahun di kawasan perumahan tersebut berharap wakil rakyat cuba selesaikan krisis air jangka masa panjang.

K. Thanalaicheme

“Memang sekarang mereka ada beri tangki sementara untuk menangani isu air ini tapi kalau boleh kita nak air sentiasa ada di paip rumah bukan perlu angkut.

“Ini demi kesejahteraan semua penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan isu air yang membelenggu penduduk sejak sekian lama menjadi fokus utama kedua-dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil, Sungai Bakap.

Menurut kedua-dua calon permasalahan itu akan cuba diatasi dengan sabaik mungkin selepas mandat dan kepercayaan diberikan oleh pengundi pada 6 Julai nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast