Perang bendera dari dua parti gegasi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang telah dipasang sepanjang jalan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyambut baik pendekatan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap turun rumah ke rumah bagi meraih undi.

Rata-rata mereka berharap pendekatan itu diteruskan selepas calon diangkat sebagai wakil rakyat agar masalah yang dihadapi dapat disalurkan terus kepada pihak berkaitan.

Teh Toh Ney

Menurut, Teh Toh Ney, 62, pemimpin yang bakal dipilih pada 6 Julai depan mestilah terdiri daripada individu yang ringan tulang untuk turun menyantuni rakyat.

“Bakal wakil rakyat itu perlu sentiasa survey (meninjau) kawasan untuk mengetahui apa masalah yang membelenggu penduduk setempat.

“YB (Yang Berhormat) rajin kerja kita terima. Kalau jenis yang tak selalu turun susah untuk kita bertemu serta menyampaikan bebanan yang dihadapi.

“Tak semua orang senang nak pergi ke pejabat wakil rakyat jadi seperti mana mereka turun kini untuk meraih undi harap ia kekal nanti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagi V. Rajeswari, 47, dia memilih pemimpin yang jujur serta boleh membantu rakyat menyelesaikan masalah berbangkit.

V.Rajeswari

“Saya harap pemimpin yang dipilih akan selalu turun melihat keadaan kami tambahan pula sudah setahun lebih perumahan di sini sering mengalami gangguan elektrik  pada waktu malam.

“Apa punca masalah itu tidak dapat dijelaskan dengan baik sebelum ini dan kita harap bakal wakil rakyat peduli tentang perkara ini serta mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Muhammad Haziq Hakim Rahizad Ali

Sementara itu, pengundi pertama, Muhammad Haziq Hakim Rahizad Ali, 18, berkata, pendekatan pemimpin berjawatan bersama sentiasa bersama calon perlu diteruskan dalam memastikan dapat membentuk sebuah negara baik.

“Kalau kita tengok awal pagi lagi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengiring calon meskipun berjawatan dan ini menunjukkan mereka tidak kisah dengan jawatan dalam menyantuni rakyat semestinya pemimpin sebegini yang kita perlu.

“Apa-apapun sebaik-baik manusia adalah manusia yang beri manfaat kepada orang lain dan saya harap yang terbaik untuk Cikgu Joohari sekiranya terpilih nanti,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast