SAIFUDDIN Nasution Ismail menyerahkan sijil pada program majlis penutupan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024 dan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2024, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah (AADK) selepas ini akan diberikan kuasa penuh untuk membuat saringan dan pengesahan untuk seseorang penagih dihantar ke pusat pemulihan dadah.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu merupakan antara pindaan yang dibuat dalam Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menerusi pendekatan itu, penagih yang secara sukarela mahu mendapatkan rawatan di pusat pemulihan dadah tidak lagi perlu dirujuk kepada pegawai perubatan seperti amalan sebelum ini.

“Ini adalah anjakan besar, bermaksud kita boleh cepatkan tanpa kompromi dari sudut pengesahan dan sebagainya.

“Rasionalnya kerana pegawai pemulihan AADK itu sendiri dengan pengalaman hampir 41 tahun, adalah profesion yang sudah pun mempunyai kelayakan dan ini kita masukkan dalam pindaan rang undang-undang ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024 dan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2024 di sini hari ini.

Jelas Saifuddin Nasution, pindaan itu kelak apabila diluluskan di peringkat kedua Dewan Rakyat dan diwartakan akan menjadi satu keputusan yang dianggap game changer.

“Pertama, kepada memudahkan dalam menarik minat mereka yang sudah terlibat dalam penagihan dadah untuk tampil sukarela di peringkat rawatan dan susulan tanpa banyak kerenah birokrasi yang menyulitkan mereka.

“Keduanya, kes salah guna bahan dadah yang tidak sampai parah yang tidak berakhir kepada kertas siasatan dan dibawa ke penjara, kalau kita boleh alihkan kes-kes seperti ini, maka kesesakan penjara dapat dikurangkan selain penjimatan kos kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazzete

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here