NIBONG TEBAL – Sayap wanita Pakatan Harapan (PH) kekal menggunakan pendekatan membantu calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan kempen dari rumah ke rumah.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, kempen rumah ke rumah menjadi pilihan beliau untuk setiap pilihan raya kerana ia adalah cara terbaik mendekati pengundi.
Jelas beliau, gerak kempen itu turut memberi ruang kepada calon untuk menyakinkan pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat.
“Ini memang habit (tabiat) saya setiap kali kempen untuk pilihan raya..Memang saya sangat suka acara rumah ke rumah kerana ini salah satu cara saya mendekati pengundi.
“Memang saya kejar masa kerana kita perlu menyantuni kira-kira 400 hingga 500 kediaman bagi setiap satu kawasan perumahan.
“Malah, setiap rumah ada time frame iaitu sekurang-kurangnya seminit dan skrip juga,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Fadhlina melakukan walkabout bersama calon Perpaduan iaitu Dr. Joohari Ariffin di sekitar kawasan perumahan Bandar Tasek Mutiara di sini.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, menerusi kempen rumah ke rumah pihaknya juga dapat menerima maklum balas secara bersemuka dengan pengundi.
“Menerusi kempen rumah ke rumah ini, kita juga dapat feed back (maklum balas) tentang apa yang mereka (pengundi) rasakan perlu wakil rakyat ditambah baik dan perlu diperbaiki.
“Selain itu; ini adalah senaman yang baik untuk semua ahli parlimen,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette