Ahli AMK menunjukkan bahan bukti sabotaj ke atas bahan kempen Pakatan Harapan di sekitar persimpangan j/raya Cmart Premium, Bandar Tasek Mutiara yang berlaku kira-kira sekitar tengah malam tadi. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang memasuki hari keenam dicemari  insiden bendera dan gengantung parti Pakatan Harapan (PH) disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan mendakwa, sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera parti yang dipasang di kawasan Bandar Tasek Mutiara telah dicabut selain sebahagian daripadanya dibuang ke longkang.

“Kira-kira 12.30 tengah malam tadi ketika saya bersama pasukan membuat rondaan di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Puteri Gunung telah mendapati ada beberapa individu berpakaian awam sedang memasang bendera parti Perikatan Nasional (PN).

“Selepas itu, kami meneruskan lagi rondaan dan pemeriksaan lanjut mendapati puluhan bahan kempen yang dipasang petugas PH telah dirosakkan serta digantikan dengan bahan daripada PN,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Fadzli Roslan bercakap pada media berkenaan insiden sabotaj ke atas bahan kempen Pakatan Harapan di sekitar persimpangan j/raya Cmart Premium, Bandar Tasek Mutiara yang berlaku kira-kira sekitar tengah malam tadi. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JUN 2024.

Mengulas lanjut, Muhammad Fadzli berkata, pihaknya tidak mahu membuat penilaian terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden provokasi mensabotajkan bahan kempen parti tersebut.

“Kita tidak mahu buat judgment (penilaian) awal kepada mana-mana pihak yang melakukan provokasi tersebut namun dalam kita menghadapi kempen (PRK Sungai Bakap) kita tidak mahu kempen dilaksanakan secara tidak sihat.

“Setakat ini, kita telah menyerahkan segala bahan bukti, gambar termasuk individu-individu yang berada di kawasan sekitar kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here