Tekong bersama dua kru nelayan Myanmar tidak berdokumen sah yang menangkap ikan secara haram di perairan negara dikepong dan ditahan Maritim Selangor semalam. Ihsan APMM Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan jenis kelas B1 itu dikesan pada kedudukan kira-kira 5.8 batu nautika barat daya muara Sungai Tengi,Tanjung Karang Selangor pada sekitar pukul 8.32 malam semalam.

“Bot itu dikesan Maritim Malaysia dalam rutin rondaan ketika sedang leka terlibat dalam aktiviti perikanan di perairan Selangor itu.

“Bot itu ditahan sebelum hasil pemeriksaan mendapati, ia dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tekong bersama dua kru nelayan Myanmar tidak berdokumen sah yang menangkap ikan secara haram di perairan negara dikepong dan ditahan Maritim Selangor semalam. Ihsan APMM Selangor

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati tekong dan kru warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokuman pengenalan diri yang sah serta bot beroperasi kurang dari lapan batu nautika dari daratan.

Jelasnya, kesemua kru bersama bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan yang ditahan itu dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan.

“Selain itu, mereka turut disiasat kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here