Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail berucap pada Program Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) di Puteri Gunung, Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail optimis pengundi dalam kalangan ahli UMNO akan mengekalkan gelombang peralihan undi kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Abang Abidin berkata, pergerakan gelombang itu dapat dilihat selain ada yang memberi keyakinan masih menyokong PN.

“InsyaAllah dengan movement (pergerakan) yang kita nampak masih ada gelombang (peralihan undi) tersebut… itu perkara yang kita tengok.

“Kita pun kunjungi ketua-ketua (tanpa mengulas maklumat spesifik) dan Alhamdulillah respon mereka positif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada ceramah kelompok PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Abidin berkata, gelombang BN ke PN yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri pada Ogos lalu boleh berkekalan.

“Kalau kita lihat ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 pertembungan tiga penjuru namun apabila PRN gelombang itu nampak dan InsyaAllah boleh berkekalan swing BN ke PN itu kali ini,” katanya.

PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here