Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jalan menghubungkan jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekuturan 1, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan jentera UMNO berfungsi dengan baik dalam membantu kempen calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat War Room PRK Sungai Bakap berkata, bahagian angkat dan negeri angkat ditetapkan di kawasan tertentu agar membantu menjayakan kempen Cikgu Joohari.

“Negeri angkat Perlis, Kedah dan Perak telah turun dan ramai jentera mereka berada di rumah-rumah sewa ditetapkan dan ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana PRK.

“Pihak sana (lawan) tahu apa yang kami buat tapi yang penting adalah kesungguhan jentera Barisan Nasional itu amat terserlah.

“Sebagai contoh tadi saya bersama Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh (Datuk Mohd Zaidi Mohd Said) sempat solat subuh di Masjid Kampung Besar dan ziarah beberapa orang sakit sebelum ke sini sekali gus menunjukkan bahagian angkat itu berfungsi di pusat daerah mengundi ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Halan yang menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke Laluan Persekutun FT1 dalam daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Mengulas lanjut mengenai keseimbangan kempen calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, Ahmad berkata, pihaknya berusaha untuk menawan manakala pihak lawan pula berusaha untuk mempertahankan kerusi.

“Sekali lagi saya ingin menyebut di sini bahawa tiada manfaat jika diberikan (mandat) kepada pembangkang untuk menyelesaikan masalah-masalah (penduduk).

“Siapakah di belakang Abang Abidin (calon PN)… macam tak nampak ada sesiapa di belakang beliau yang mempunyai kuasa boleh menolong rakyat,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here