Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk memiliki tatu di tangan berakhir dengan tragedi apabila beliau diliwat pelukis tatu di sebuah premis perniagaan itu, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, suspek menyapu minyak di tangan kanan mangsa ketika mula melukiskan bunga di tangan lelaki berusia 24 tahun itu menyebabkan beliau tidak sedar apa yang sedang berlaku.

Beliau berkata, mangsa yang tersedar kemudian terkejut mendapati beliau berada dalam keadaan tidak berpakaian di dalam premis itu.

“Mangsa terus keluar meninggalkan premis tatu itu dan mula merasakan amat sakit di bahagian dubur sebelum mengesyaki suspek lelaki yang melukis tatu itu telah meliwatnya,” katanya.

Berikutan itu, menurut Shahrulnizam, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

“Bertindak atas laporan polis mangsa itu, polis membuka kertas siasatan dan memulakan siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana kesalahan meliwat dengan melakukan persetubuhan secara luar tabii,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaku kesalahan tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here