Naazron Abdul Yusof

KUALA LUMPUR – Rancangan dua individu untuk mencuri kabel berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat  terjatuh daripada sebuah bangunan apartmen di Kajang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati ketika melakukan jenayah itu salah seorang daripada suspek berjaya ditahan pengawal keselamatan.

Tambah beliau, seorang suspek maut dipercayai telah terjatuh dari bangunan ketika cuba bersembunyi dan melarikan diri dengan melompat ke aras lain melalui balkoni namun tergelincir dan terjatuh ke tingkat 4 bangunan.

Jelasnya, suspek disahkan meninggal dunia oleh Pasukan Paramedik Hospital Kajang .

“Dalam kejadian ini salah seorang suspek berumur 31 tahun telah ditangkap bersama enam gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan memotong wayar kabel turut dirampas daripada suspek,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 8.20 pagi.

Menurut Naazron, semakan ke atas suspek yang ditangkap mendapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta hasil saringan ujian air kencing didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Tambah beliau, suspek yang maut berumur 29 tahun turut dikesan mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kejadian suspek jatuh bangunan menyebabkan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Jelasnya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungiu balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Insp. Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here