Mirnawan Nawawi

KUALA LUMPUR – Legenda hoki negara, Mirnawan Nawawi tampil mempertahankan pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjadi kritikan ramai baru-baru ini.

Beliau menyifatkan, rekaan pakaian itu yang akan menyuntik semangat tambahan kepada atlet bagi meraih emas pertama pada temasya itu.

Mirnawan, 52 memberitahu, sepanjang kariernya dia telah menyertai semua temasya sukan sejak 1992 hingga 2001 dan bangga menyarung pakaian rasmi kontinjen Malaysia yang disediakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Initiatif MOM untuk menyediakan pakaian rasmi kontinjen Malaysia yang bercorak baharu setiap kali temasya pelbagai sukan, khususnya Sukan Olimpik merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan kepada atlet kebangsaan dan Olimpian yang akan berjuang untuk raja dan negara.

“Corak baharu pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bertemakan emas adalah sangat unik dan berbeza daripada pakaian rasmi yang saya miliki sebelum ini, ‘something different’,” katanya menerusi Facebook.

Sepanjang kariernya Mirnawan beraksi dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996 dan 2000), tiga Sukan Asia (1990, 1994 dan 1998), sekali Sukan Komanwel (1998) dan lima Sukan SEA (1993, 1995, 1997, 1999 dan 2001).

Mirnawan berkata, corak yang menonjolkan keemasan semestinya akan menyuntik semangat tambahan kepada atlet bagi meraih emas pertama di pentas Sukan Olimpik.

Terdahulu, peminat sukan mengkritik rekaan itu yang didakwa hambar serta tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here