Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Penyelasaran subsidi diesel di Semenanjung tidak akan memberi kesan terhadap harga barang di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana jenis pengangkutan yang digunakan bagi membawa barangan dagangan ke dua negeri Malaysia Timur itu masih layak menerima subsidi diesel pada harga RM2.15 seliter.

Tambah beliau, rantaian pengangkutan air tidak menggunakan diesel yang dijual runcit di stesen minyak.

“KPDN mengambil maklum terdapat kekhuatiran pihak-pihak tertentu bahawa penyasaran subsidi diesel di Semenanjung memberikan impak, melebarkan lagi jurang yang sememangnya sedia ada dari segi harga barang.

“Jadi secara prinsipnya untuk Sabah, Sarawak dan Labuan kita tidak melihat ia akan menyebabkan implikasi kenaikan harga barang kerana dua faktor, pertama rantaian pengedaran barangan yang dihantar ke Sabah dari segi pengangkutan darat termasuk jenis pengangkutan layak SKDS masih menerima subsidi diesel harga RM2.15.

“Pengangkutan air pula membawa pelabuhan kita jenis pengangkutan laut diesel tidak pernah menerima subsidi sebelum ini.

“Kedua, bukan diesel yang dijual runcit tapi bahan api khusus Marine Fuel Oil dan Marine Gas Oil, jadi kita melihat berdasarkan prinsip tersebut. Kelayakan pengangkutan sedia ada yang membawa rantaian barangan ke pelabuhan Sabah dan Sarawak tidak menggunakan subsidi diesel yang disasarkan tersebut,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui (GRS).

Bagaimanapun beliau memberi jaminan Ops Kesan 2.0 akan diteruskan bagi tujuan pemantauan penetapan harga dalam kalangan peniaga selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Sementara itu Armizan memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan tindakan bagi menangani isu jurang perbezaan harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Semenanjung.

Jelas beliau, ia melibatkan dasar dan program merentasi pelbagai kementerian dan agensi meliputi subsidi barangan, bahan makanan, pengangkutan dan lain- lain.

Tambahnya, kerajaan juga melaksanakan program berbentuk intervensi dan mitigasi melalui pemberian subsidi untuk memastikan penduduk di Sabah, Sarawak dan Labuan mendapat akses kepada barang-barang keperluan asas dan bahan makanan tertentu.

“Dua program spesifik utama di bawah tanggungjawab langsung KPDN iaitu Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (PPHSSL) atau Port to Port yang melibatkan peruntukan tahunan RM40 juta dan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming atau PoS to PoS iaitu Point of Source (PoS) to Point of Sale (PoS) dengan peruntukan RM225 juta,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Tawau itu meminta kementerian tersebut menyatakan perancangan untuk menyeragamkan harga barangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan mekanisme untuk menangani masalah penyeludupan barangan keperluan yang bersubsidi di Tawau dan Sabah.

“Sebagai contoh, isu jurang perbezaan harga barangan yang ketara antara wilayah inilah telah menjadi salah satu faktor pertimbangan kerajaan buat masa ini meneruskan kaedah sedia ada pemberian subsidi diesel di stesen-stesen minyak dan subsidi diesel nelayan yang melibatkan anggaran peruntukan RM3.6 bilion untuk tahun 2024 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here