NIBONG TEBAL – Pembinaan jalan menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke laluan Persekutuan FT1, di sini, mendahului jadual selama 45 hari dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek yang menelan kos RM11.26 juta dengan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu bakal menyelesaikan masalah dihadapi penduduk sekitar khususnya dalam aspek keselamatan.
Jelas beliau, projek menghubungkan Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal dengan Jalan Negeri P146-Jalan Bukit Panchor ini telah dimulakan sejak 30 Mac 2022 dan setakat ini sudah mencapai kemajuan 74.65 peratus.
“Ketika ini, kenderaan terpaksa melalui taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian bagi urusan perdagangan sekali gus timbul isu keselamatan masyarakat kerana kenderaan-kenderaan berat daripada perindustrian melalui taman perumahan.
“Apabila siap nanti, jalan ini berupaya menampung sehingga 1,000 kenderaan sehari dan dapat menghubungkan kawasan Sungai Kechil, Sungai Bakap, Taman Ilmu dan Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian ke pekan Nibong Tebal.
“Selain itu, skop projek ini termasuk pemasangan lampu isyarat, lampu jalan di persimpangan serta pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti seperti paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Gas Malaysia, kabel Telekom Malaysia (TM), Maxis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek jalan itu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, projek berkenaan turut menelan kos tambahan sebanyak RM5 juta bagi tujuan pengambilan lebih lima lot tanah untuk pembinaan jalan itu sekali gus menjadikan kos keseluruhan adalah RM16.26 juta.
“Selepas ini kawasan (estet) ini akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian yang menguntungkan rakyat sekeliling terutama Sungai Bakap. Ini teori pembangunan zaman berzaman, ada jalan maka ada pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette