Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan Padang Besar-KL Sentral dan sebaliknya sempena cuti umum Awal Muharam pada 7 Julai ini.

Menurut KTMB, perkhidmatan tambahan itu bermula 5 hingga 7 Julai itu menawarkan 2,520 tiket termasuk dalam koc kelas perniagaan dan tiket akan mula dijual pada jam 10 pagi esok.

ETS tambahan berkenaan melibatkan tren nombor 9283 bergerak dari Padang Besar pada  jam11.05 pagi dan dijadual tiba di KL Sentral  pada jam 4.30 petang dan tren nombor 9286 dari KL Sentral akan bergerak jam 5 petang dan tiba di Padang Besar pada jam 10.20 malam.

“Penambahan perkhidmatan itu bertujuan menampung permintaan tinggi khususnya semasa cuti umum serta dapat mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman,” menurut kenyataan KTMB di sini, hari ini.

Selain itu, KTMB menasihati pengguna agar merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian tiket pada saat akhir.

Orang ramai disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, App Store dan AppGallery atau membuat pembelian terus di laman sesawang rasmi KTMB.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here