Datuk Ewon Benedick.

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) buat julung kalinya menawarkan tajaan bagi pengajian kepada tiga rakyat Palestin di peringkat pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ia adalah susulan daripada pertemuan beliau dengan ketua delegasi Palestin dalam persidangan Menteri-menteri Koperasi Sedunia di Jordan, April lalu.

“Tawaran pengajian beserta dengan kos pengajian sehingga RM70,000 untuk serorang pelajar,” katanya dalam sidang media selepas program pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UKKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Datuk Ewon Benedick

Ewon yang dilantik sebagai Canselor pertama UKKM berkata, Palestin adalah negara pertama yang dipilih selepas mengadakan satu perbincangan antara delegasi Malaysia-Palestin untuk program tersebut.

Daripada tiga pelajar tersebut, seorang daripadanya akan mengambil Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan dan dua lagi Ijazah Sarjana Pengurusan Koperasi.

Untuk rekod, pengambilan pelajar-pelajar dari negara Palestin itu merupakan pengambilan pertama pelajar antarabangsa di UKKM.

Dalam pada itu, Ewon berkata, pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke UKKM, mereka boleh berbuat demikian dengan melayari www.ukkm.edu.my atau cms.ukkm.edu.my/apply

“Saya ingin mengalu-alukan belia lepasan SPM dan STPM yang belum mendapat tempat melalui progres UPU itu boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di UKKM,” katanya.

Terdahulu, UKKM melantik Datuk Suriani Ahmad dan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai Pro Canselor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here