Gambar tular seorang kanak-kanak duduk di tingkat terbuka sebuah kereta yang bergerak.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai cuai kerana mendedahkan anak perempuannya kepada bahaya semasa kenderaan bergerak di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan pada jam 11.15 pagi tadi berkaitan video tular berdurasi 28 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok bernamaSangeethadas_Familyalaparai.

“Siasatan polis ke atas video tersebut mendapati kejadian itu berlaku pada 21 Jun lalu jam lebih kurang 1.15 tengahari di kawasan Jalan Suadamai Bandar Tun Hussein Onn, Kajang Selangor.

“Dalam video tersebut menunjukkan tindakan berbahaya seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di tingkap terbuka di sebelah pintu hadapan kiri pemandu sebuah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan ibu kepada kanak-kanak tersebut lebih kurang 4.50 petang tadi.

Katanya, wanita itu ditahan polis ketika  hadir bersama suaminya untuk memberi keterangan ke balai.

Manakala, kenderaan yang terlibat turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut polis.

Naazron berkata, hasil siasatan mendapati ibu kanak-kanak itu seorang OKU fizikal yang buta sebelah mata.

Manakala kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun yang tular di dalam video tersebut juga merupakan seorang kanak-kanak OKU PSY, ujarnya.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali,” tambah beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp. Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan lanjut kes terbabit.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here