Suspek, lelaki warga Israel, Avitan Shalom tiba dengan kawalan ketat yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan tentang lantikan peguam baharu yang akan mewakili seorang lelaki warga Israel atas dua pertuduhan memiliki ratusan butir peluru dan memperdagangkan enam pistol.

Tertuduh, Avitan Shalom, 38, melantik peguam, Datuk Naran Singh untuk mewakilinya pada perbicaraan yang akan bermula selama sembilan hari pada September depan.

Ketika prosiding sebutan kes pagi ini di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin, pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon masa tambahan selama sebulan bagi serahan dokumen kepada pasukan pembelaan.

Kata beliau, antara dokumen itu termasuklah analisa forensik, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lain-lain.

Mahkamah turut dimaklumkan, setakat ini laporan dan analisa forensik belum lagi siap untuk diserahkan kepada pembelaan.

Naran kemudian bangkit bersetuju dengan tempoh masa sebulan yang diperlukan oleh pasukan pendakwaan sebelum serahan dokumen untuk mereka teliti kelak.

Hakim kemudian menetapkan 30 Julai depan bagi serahan dokumen.

Shalom yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru pada 27 Mac lepas.

Hasil siasatan mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Shalom mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibaca dalam bahasa Inggeris dan mohon dibicarakan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here