Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima peruntukan terbesar sebanyak RM1.35 bilion pada tahun ini untuk melaksanakan 12 projek pembangunan fizikal baharu melalui Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, peruntukan besar itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk tujuan pembinaan, antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis.

“Ia membabitkan projek pembinaan IPD, kuarters perumahan dan #malaysiagazette fasiliti lain antaranya IPD Kemaman dan Balai Polis Kijal, Terengganu; IPD dan Balai Polis Padang Besar serta perumahan Perlis; IPD dan Balai Polis Nabawan dan perumahan Sabah.

“Turut terlibat adalah pembinaan Balai Polis Jelutong dan perumahan Pulau Pinang, bengkel pengangkutan IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kedah dan menara tinjau pos Batu Putih, Perlis,” katanya dalam amanat di Perhimpunan Bulanan KPN Bulan Jun 2024 anjuran Jabatan Logistik dan Teknologi di Bukit Aman pagi hari ini.

Menurut Razarudin, pada tahun lalu PDRM menerima peruntukan sebanyak RM112.6 juta bagi pelaksanaan 465 projek pembaikan dan menaiktaraf kuarters.

Tambah beliau, menerusi peruntukan itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya telah Berjaya melaksanakan penambahbaikan perumahan melibatkan 4,612 unit rumah kuarters di seluruh negara.

“Selain kerja-kerja meliputi pembaikan saluran paip dan pendawaian, sebanyak RM14.4 juta peruntukan dimanfaatkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian sebanyak 286 unit kuarters lama PDRM berkeluasan di bawah 700 kaki persegi dengan 2 bilik menjadi 143 unit kuarters berkeluasan 1,200 kaki persegi (3-4 bilik tidur) iaitu pengubahsuaian dua unit menjadi satu unit kuarters sekali gus dapat memberi keselesaan kepada penghuni kuarters.

“Peruntukan dan pelaksanaan projek ini yang turut meliputi balai-balai polis dan pos-pos PGA adalah merupakan langkah permulaan di bawah kerangka Pembangunan Malaysia Madani,” katanya.

Sementara itu, Razarudin menggesa warga PDRM supaya sentiasa mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan kepada mereka.

“Sila tingkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here