Seorang pemandu BMW dan penunggang motosikal nyaris maut selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang selepas hujan lebat dan ribut di Kampung Sungai Putat, Melaka malam tadi.

MELAKA – Seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal nyaris maut dihempap pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut di Kampung Sungai Putat, di sini sejak petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, pemandu kereta jenis BMW dan motosikal Yamaha FZ150 itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.

Keadaan banjir kilat di Melaka. Foto JKR Melaka

“Ia menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan dan jalan raya serta tanah menjadi gembur mengakibatkan pokok tumbang menghempap kedua-dua kenderaan itu.

“Seramai 11 anggota APM melakukan kerja-kerja menyelamat mengeluarkan mangsa dan melakukan kerja-kerja pembersihan untuk memastikan kawasan selamat digunakan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, hujan berterusan hampir tiga jam turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kenderaan terkandas dalam banjir kilat di Jalan Tun Razak, Ayer Keroh.

Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan kehilangan jiwa ekoran kesemua pemandu dan penumpang sempat menyelamatkan diri selain kenderaan berjaya dialihkan ke tempat selamat dengan bantuan pasukan bomba.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka melalui Facebook (FB) rasminya memaklumkan beberapa laluan lain turut ditenggelami banjir kilat antara paras 0.3 hingga 0.6 meter.

Ia termasuklah Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Jalan Autocity dan Jalan Gangsa serta Jalan Krubong menghala ke Pantai Belimbing selain kawasan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here