Hamidin Mohd Amin.

PETALING JAYA – Permohonan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mendapat perkenan baginda.

Hamidin berkata, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada beliau petang semalam.

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap Tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Datuk Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” kata Hamidin kepada MalaysiaGazette pagi ini.

Tambah Hamidin, beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Munir Tuanku Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai depan.

“Insya Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” jelas Hamidin lagi.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Malaysian Football League (MFL).

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku Presiden FAM kerana baginda telah lama mengenali beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan juga berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here