Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Sesi Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Pengarah Risda kepada Zainal Azni Zulkifli yang berkuat kuasa pada 7 Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Zainal Azni Zulkifli sebagai Ketua Pengarah baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkuatkuasa 7 Jun lalu.

Zainal Azni menggantikan Datuk Abdullah Zainal yang bersara pada 6 Jun lalu.

Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam.

Risda berkata, Zainal Azni mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jawatan penting pelbagai organisasi termasuk RISDA, menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah itu.

Mulai tahun 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (KRH) dan berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat RISDA dalam tempoh ini.

Kata RISDA, mandat yang dipertangunggjawabkan ini telah memperlihatkan pencapaian syarikat melalui peningkatan keuntungan sebanyak 5% setiap tahun seterusnya menjadikan syarikat di bawah KRH antara yang terbaik di bawah naungan KKDW.

Pelantikan juga menjadi bukti kepada rekod kecemerlangan pencapaian, kepimpinan tinggi dan berwawasan strategik ditunjukkan Zainal Azni yang diperlukan dalam memastikan RISDA terus unggul ke arah mancapai misi agensi menuju kelestarian pembangunan sektor pekebun kecil getah di fasa 50 tahun kedua. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here