Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dijamin mendapat tempat di matrikulasi sebagai pengumuman signifikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pengumuman itu memberi peluang pendidikan lebih luas kepada semua pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa mengira latar belakang dan kaum.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada PM (Anwar) atas pengumuman cukup penting dan signifikan ketika ini. Apatah lagi jaminan bagi mendapatkan dan meneruskan pengajian di peringkat tinggi untuk anak-anak cemerlang SPM tahun ini.

“Jadi inilah satu jaminan pendidikan yang diberikan oleh PM sendiri dan saya bersama Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan meneliti perkara ini.

“Kita akan bekerjasama dengan KPT dalam mengambil tindakan selanjutnya berkenaan pengumuman itu,” katanya hari ini.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah bersama masyarakat setempat di Simpang Ampat di sini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya turut mengharapkan pengumuman tersebut tidak menimbulkan sebarang kegusaran terutamanya dalam soal kuota Bumiputera.

“Kuota (bumiputera) dikekalkan dan pada masa sama peluang pendidikan itu cukup luas dan ia semua dapat tempat untuk melanjutkan pengajian masing-masing,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi bermula tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan mengganggu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.

Beliau berkata, perincian mengenai keputusan berani kerajaan itu dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan pada masa sama memberi keadilan di dalam sistem pendidikan negara akan dimaklumkan Menteri Pendidikan esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar SPM 10A semua kaum layak dapat tempat lanjutkan pengajian – PM

1 Komen

  1. Kamu baca balik apa matlamat program matrikulasi…kamu baca balik dlm laman sesawang KPM sendiri…ker kamu ni bodoh tak boleh membaca?? Bodoh

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here