Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sesi sidang media Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

IPOH – Semua pihak diminta untuk tidak mempolitikkan atau menyalah erti keputusan Barisan Nasional (BN) dalam menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) walaupun masih mewujudkan kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu bukan bermakna BN mahu bergerak secara bersendirian, namun sebaliknya ia bagi memastikan dua gabungan itu tidak bertembung antara satu sama lain di mana-mana kerusi yang dipertandingkan.

Katanya, amalan berkenaan masih sama sebagaimana dalam mana-mana siri Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika ini iaitu PH dan BN bertanding menggunakan logo masing-masing.

BN PH barisan nasional pakatan harapan logo PRU16 pilihan raya Perak Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

“Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak mempunyai logo sendiri. Dan atas dasar saling mempercayai, walau logo berasingan, BN dan PH tidak akan bertanding melawan antara satu sama lain.

“Di mana kerusi yang PH bertanding, BN akan menyokong dan begitulah sebaliknya. Ia situasi sama seperti PRK yang berlangsung ketika ini (PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri, di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan.

BN PH barisan nasional pakatan harapan logo PRU16 pilihan raya Perak Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyerahkan anugerah cura kepada pemenang pertandingan reruai produk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pada Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

Terdahulu Saarani diminta mengulas berkenaan laporan BN akan menggunakan logo sendiri pada PRU16 biarpun mengadakan kerjasama politik dengan PH.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kegagalan BN pada pilihan raya lalu tidak menghalang parti itu untuk terus kekal menggunakan logonya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak menambah, beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan dan kerjasama antara PH dan BN termasuk Perak.

“Jika ditakdirkan berlaku PRK di Parlimen Kuala Kangsar atau di Bukit Gantang, jika BN meletakkan calon BN akan guna logo BN, tetapi PH akan menyokong calon BN itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya dua daripada enam Ahli Parlimen bekas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ingin menyertai UMNO, Saarani memberitahu perkara itu diserahkan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

BN PH barisan nasional pakatan harapan logo PRU16 pilihan raya Perak Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bergambar kenangan bersama semua tetamu dan orang ramai yang hadir ke Sambutan Minggu Perpaduan Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

Dua wakil rakyat yang dimaksudkan adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal serta Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

“Perkara itu biar MKT putuskan, dan akan buat keputusan. Namun ia ada kebaikan dan keburukkan,” katanya yang juga salah seorang Ahli MKT UMNO.

Media pada 13 Jun melaporkan, enam ahli parlimen BERSATU dihentikan keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Selain Syed Abu Hussin dan Iskandar Dzulkarnain, nama wakil rakyat lain yang dimaksudkan adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here