Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mencapai sasaran pertama Langkah Muar melalui larian 200 kilometer yang bermula pada Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Muar itu berjaya mengutip sejumlah RM101,006 dalam tempoh 48 jam selepas memulakan larian dari Muar bagi mendesak kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“RM101,006 dalam 48 jam! Alhamdulillah. Saya terhutang budi kepada semua. Lagi ditekan, lagi ramai yang berkawan. Sakit macam mana pun, saya tidak akan berhenti,” kata Syed Saddiq di Twitter.

Sebelum ini Syed Saddiq berkata, larian itu turut bertujuan untuk mengutip dana RM100,000 bagi Pusat Khidmat Muar diperlukan demi ia dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.

Syed Saddiq kini dalam misi berlari sejauh 200km selama empat hari yang akan berakhir esok bagi menuntut peruntukan ahli Parlimen RM4 juta setahun atau RM20 juta satu penggal seperti yang diperoleh oleh ahli Parlimen kerajaan.

“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri

“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya sebelum ini.

Langkah Muar

Beliau dilaporkan telah berlari sejauh 120km dan akan menyelesaikan baki 80km hari ini dan esok.

Syed Saddiq memulakan larian pada Jumaat bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39km dan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.

Pada Sabtu Syed Saddiq menyambung larian dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5km pada pukul 5 petang.

Mengikut jadual, Syed Saddiq memulakan larian hari ini dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Ahli Parlimen Muar itu akan meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin bermula pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai di Parlimen pukul 9 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast