Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Fuziah Salleh beramah mesra bersama penduduk tempatan pada Hari Terbuka Mysubsidi Diesel 2.0 Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Ramai pemilik syarikat mengambil kesempatan menghadiri penganjuran sesi libat urus Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selain meluahkan rasa puas hati kerana penganjuran itu membuka ruang untuk mendapatkan solusi berkaitan penyasaran subsidi, rata-rata mereka berharap penganjuran sebegini diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurut pengusaha bas kilang, S.Siva, 56, dia hanya tahu kategori perkhidmatannya tidak layak mendapat penyasaran subsidi hari ini.

S. Siva

Bagaimanapun, dia mengharapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan agar pemilik kilang menyemak semula kadar pembayaran upah bagi pengusaha bas kilang.

“Dalam geran bas kilang terletak dalam kategori perkhidmatan awam namun sebenarnya kita tidak layan dan perlu menanggung sepenuhnya kenaikan harga diesel sebanyak 55 peratus itu.

“Keadaan itu sangat membebankan kerana kontrak perkhidmatan bas dengan pihak kilang masih kekal pada bayaran harga lama diesel.

“Bila datang sini baru saya tahu dan ia juga di bawah bidang kuasa MITI untuk memberi nasihat kepada pemilik kilang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi pemilik syarikat logistik, Siti Nor Masirah Mat Rejab, 37, penantian sejak April lalu untuk mendapatkan kad fleet membuahkan hasil hari ini.

Siti Nor Masirah Rejab

“Kalau ikutkan permohonan saya lulus untuk dapat kad fleet dan sejak April saya tunggu tapi tiada syarikat pengendali minyak beri maklum balas termasuk KPDN.

“Impaknya menyebabkan perkhidmatan treler saya tergendala selama dua minggu kerana kami syarikat kecil tidak mempunyai modal banyak untuk mendahulukan duit dalam pembelian diesel tanpa subsidi.

“Alhamdulillah hari ini saya dapat solusi dan saya harap program sebegini dibuat di merata-rata tempat agar orang lain yang terbeban seperti saya temui penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, wakil stesen minyak BHPetrol, Cheang Yen Yen, 45, berkata, banyak manfaat diperoleh dalam sesi libat urus terbabit khsususnya persoalan yang kerap diutarakan pelanggan ketika membuat permohonan kad fleet.

Cheang Yen

“Boleh kata setiap hari ada pelanggan lontarkan persoalan untuk mengenal pasti kategori kenderaan mereka layak atau sebaliknya.

“Dengan penganjuran ini kita (pengendali stesen minyak) juga boleh jadi pengantara kerajaan dan pelanggan (rakyat) dalam memberi maklumat penyasaran subsidi diesel,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh menyarankan semua negeri untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berkenaan SKDS 2.0.

Katanya, ia bagi membolehkan penyampaian maklumat dapat dibuat secara lebih berkesan selain memberi peluang kepada syarikat serta pemilik kenderaan yang layak memohon untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mahu pun bertanyakan soalan secara bersemuka kepada pihak kementerian tentang pelaksanaan inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here