Antara 76 kabel yang dipotong pelbagai ukuran dirampas polis. - Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu termasuk tiga wanita ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di Jalan Hillview, Hulu Kelang di Ampang, Selangor pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terserempak sebuah kereta yang dinaiki dua suspek  dalam keadaan mencurigakan pukul 5.23 pagi.

“Ketika diminta berhenti untuk pemeriksaan, pemandu terbabit terus memecut kereta itu ke arah Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dengan seroang daripadanya cuba terjun dari kenderaan namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan oleh juruteknik Telekom Malaysia (TM) mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu disyaki mencuri kabel di Jalan Hillview malah suspek kedua gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan rampasan daripada 11 individu yang terlibat dalam kegiatan curi kabel telekomunikasi. – Foto Ihsan PDRM

Susulan daripada tangkapan itu, Mohd Azam berkata, pihaknya memberkas enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 17 hingga 33 tahun.

Tangkapan kesemua suspek dibuat di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang kerana disyaki terbabit dengan kes itu.

“Kita berjaya merampas 76 kabel yang dipotong pelbagai ukuran, empat kereta, tiga mesin gerudi, sebuah mesin kimpal, 10 gulung tali sling, satu kuku kambing, dua besi main hole key dan empat telefon bimbit.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki aktif mencuri kabel sejak tahun lalu membabitkan empat kes di Ampang Jaya, dua kes di Shah Alam serta tiga kes di Melaka.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kabel bawah tanah TM dengan memotong dan menarik ia menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.

Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Semakan lanjut terhadap sembilan suspek mempunyai antara dua hingga 14 rekod pelbagai kesalahan jenayah dan dadah manakala dua lagi suspek tiada rekod jenayah.

“Permohonan reman ke atas dua suspek yang ditahan kelmarin adalah selama empat hari, berakhir esok, manakala sembilan lagi suspek direman selama empat hari sehingga 3 Julai ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427/431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi seorang suspek.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit sebarang perbuatan khianat terhadap kabel dan sentiasa membawa dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here