Norlela bersama pegawai kanan Kastam Zonm Tengah menunjukkan rampasan dua kes dadah di Zon Kargo dan Terminal 2 KLIA pada 16 dan 19 Jun lalu.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah berjaya menyelesaikan dua kes penyeludupan dadah bernilai RM3.2 juta di Terminal 2 dan Zon Bebas Kargo KLIA di sini pada 16 dan 19 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dalam kes pertama pada 16 Jun lalu, pihaknya dan anggota Petugas Keselamatan Penerbangan Malaysia Airport (AVSEC) berjaya mengesan seorang lelaki yang selamba dengan membawa dadah di dalam kotak mi segera sebelum mendaftar masuk penerbangan.

Katanya, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu cuba membawa keluar dadah yang dibungkus di dalam bungkusan teh dan dimasukkan ke dalam kotak mi segera untuk ke Miri, Sarawak.

“Anggota kastam menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kotak makanan miliknya yang didaftar masuk secara kendiri di kaunter check in sebuah syarikat penerbangan bagi penerbangan ke Miri, Sarawak pukul 7 malam.

“Hasil dari pemeriksaan rapi, pasukan berjaya menjumpai sejumlah 15 mampatan kristal putih yang disyaki dadah jenis ketamin yang diisi di dalam bungkusan teh yang diisi ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181 kilogram disyaki mampatan lutsinar diyaki Ketamin dianggarkan bernilai RM760,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Norlela, lelaki berkenaan kemudian berjaya ditahan di pintu masuk sebelum penerbangan berlepas.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah berbahaya di dalam bungkusan teh bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket menggunakan daftar masuk kendiri bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi-lokasi lain bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek sama ada dia adalah keldai atau sebaliknya. Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234),” katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua, pihaknya berjaya merampas dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di dalam satu kotak bungkusan kurier udara bernilai RM2.5 juta di Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang.

Tambah beliau, bungkusan disyaki dari negara benua Eropah itu adalah bungkusan yang tidak dituntut pada 19 Jun lalu yang dialamatkan kepada sebuah syarikat tempatan.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh Kastam ke atas kotak menemui 15 termos yang mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis (MDMA) beranggaran kasar seberat 14.663 kilogram.

“Pihak kastam kini sedang melakukan siaatan lanjut bagi menentukan sama ada syarikat berkenaan wujud atau sebaliknya, selain menyemak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here