WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menghantar pulang sekumpulan migran China yang memasuki negara itu secara haram, kumpulan pertama dengan menggunakan pesawat sewa khas sejak 2018, kata Jabatan Keselamatan Dalam negara (DHS).

Penerbangan ke China pada hujung minggu membawa 116 orang yang dilakukan menerusi ‘koordinasi rapat’ dengan pihak berkuasa China, kata jabatan itu.

“DHS terus bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam (China) dan Pentadbiran Imigresen Nasional terhadap penerbangan tambahan,” katanya.

Washington sedang bekerjasama dengan Beijing ‘untuk mengurangkan dan mencegah migrasi tidak teratur dan untuk menghalang penyeludupan manusia menerusi penguatkuasaan’, tambahnya.

“Kami akan terus menguatkuasakan undang-undang imigresen kami dan mengusir individu tanpa asas perundangan untuk kekal di AS.

“Masyarakat tidak sepatutnya percaya pembohongan penyeludup,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negera, Alejandro Mayorkas dalam kenyataan.

Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan migran China melintasi sempadan Mexico-AS, menurut perangkaan AS, dengan lebih 31,000 warga China dilaporkan ditemui antara Oktober hingga Mei lalu.

Bekas Presiden, Donald Trump dari parti Republican memberi tumpuan terhadap isu pendatang haram dalam usahanya dipilih semula dan beliau bersifat kritikal terhadap dasar lawannya, Joe Biden dari parti Democrat. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast