Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 01 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan hanya ladang dan fasiliti pembungkusan buah durian yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian (DOA) boleh mengeksport durian segar ke China.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hanya buah-buahan tempatan yang bernilai tinggi dapat dieksport ke pasaran luar negara buat masa ini.

“Hanya ladang dan fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan DOA, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan daripada pihak GACC menerusi pematuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam protokol dibenarkan mengeksport buah durian segar ke China.

“Kementerian menjangkakan proses kelulusan pendaftaran dengan GACC ini memerlukan tempoh selama dua hingga tiga bulan dan eksport buah durian segar dijangka bermula pada suku tahun ketiga tahun 2024,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad (PH-Kota Raja) berkata demikian menjawab soalan Chow Yui Hui (PH-Raub) yang ingin tahu usaha kementerian untuk mempercepatkan proses pengeksportan durian-durian segar ke negara China.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPKM sedang memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama GACC serta mengemukakan senarai ladang dan fasiliti pembungkusan sedia ada yang telah mengeksport ke China kepada pihak Pentadbiran Am Kastam China (GACC) untuk kelulusan eksport durian segar dari GACC.

Menurutnya, usaha mengeksport buah durian segar dari Malaysia ke China telah bermula sejak 3 Mac tahun lepas setelah akses pasaran buah nangka segar berjaya diperoleh daripada GACC.

Jelasnya, beberapa inisiatif telah diambil termasuk menandatangani Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar yang membolehkan buah berkenaan dieksport ke China. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here