Ahli Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia tiba di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen dengan membawa sepanduk dan kain rentang untuk menyerahkan memorandum kepada wakil ahli parlimen pembangkang mengenai pengeluaran akaun fleksibel KWSP. Foto SADIQ SANI, 1 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 individu menyertai himpunan aman di persimpangan masuk ke bangunan Parlimen pagi ini bagi menyerahkan memorandum tuntutan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan pengeluaran ke akaun fleksibel kepada pencarum yang tidak mempunyai baki atau kurang di dalam akaun 2.

Himpunan anjuran Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGRIM) itu bermula pukul 9 pagi sebelum sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Setiausaha Agung PGRIM, Putri Fira Affandi berkata, memorandum itu dibuat bagi mendesak kerajaan membenarkan pencarum menuntut hak sama rata khususnya kepada mereka yang tercicir dan memiliki baki simpanan di dalam KWSP kurang daripada RM20,000.

Katanya, mereka juga menuntut agar diberikan kelonggaran pengeluaran daripada akaun 1 terus ke akaun bank pencarum atau dipindahkan ke akaun fleksibel dengan kadar segera.

Wakil dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Ezad (dua kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil ahli parlimen pembangkang di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen. Foto SADIQ SANI, 1 JULAI 2024

“Mereka yang hadir pagi ini datangnya dari semua negeri Sabah, Sarawak, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Perlis Pahang dan Terengganu, Kelantan semua ada,” katanya kepada media di sini hari ini.

Referendum berkenaan kemudiannya diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang agar dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut serta dalam perhimpunan tersebut berkata, pihaknya berharap agar isu yang dibawa oleh PGRIM itu dapat didengar oleh kerajaan untuk dipertimbangkan secepat mungkin.

“Kita simpan (wang KWSP) adalah untuk kegunaan pada waktu terdesak dan kalau dalam situasi ini kerajaan tak boleh pertimbang saya fikir ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku pada waktu ini.

“Jadi, saya bersama rakan-rakan di Parlimen menyatakan sokongan kami berterusan kepada tuntutan yang dibuat…Insyaallah ia akan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid melihat perjuangan yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan mempunyai matlamat kerana permohonan yang dibuat adalah secara bersasar.

Katanya, mereka sememangnya dalam kesempitan dan telah membangkitkan perkara itu sejak dua tahun lalu dengan berjumpa banyak pihak.

Bagaimanapun, katanya, setakat sehingga hari ini, beliau tidak melihat respon yang dberikan oleh pihak kerajaan berhubung perkara tersebut.

“Saya minta pihak kerajaan supaya mendengar suara kumpulan ini kerana tuntutan mereka adalah itu adalah relevan. Mereka ini ada yang ibu tunggal, bapa tunggal dan ada yang nak kena lelong rumah dan kereta serta hutang tinggi termasuk yang mendapat notis bangkrap.

“Mereka ini tiada sumber kewangan, nak ambil yang fleksibel dari akaun 2 tak dapat minta akaun satu,” ujarnya.

Justeru beliau berharap agar kerajaan ‘buka telinga’ untuk mendengar suara mereka dengan memberikan maklum balas bagi memenuhi tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here