Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang telah membuat permohonan ke program matrikulasi KPM atau program-program melalui UPUOnline®️ oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA).

Ini bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

KPM berkata, tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di universiti awam.

“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

“Kerajaan Madani komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan asset masa hadapan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, KPM menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi tempat kepada pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Hal itu merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Hari ini, Perdana Menteri turut memberikan jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota bumiputera lepasan SPM bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi susulan termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak payah berbelit2 laaa..ko balik ko baca balik apa tujuan matrikulasi diwujudkan. Ko ni pengkhianat. Matrikulasi diwujudkan sebagai intervensi sosial utk membantu pelajar bumiputra tidak tertinggal dlm pendidikan tinggi, faham!

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here