CHAH Li Kang (dua dari kiri) dan Nora Mohamed (kiri) dalam sidang akhbar prapelancaran program NBiOSHOWCASE 2024 di WTC, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan dapat mencapai pelaburan baharu berjumlah RM1.32 bilion dalam sektor industri berasaskan bioekonomi menerusi penganjuran Pameran Bioekonomi Kebangsaan (NBiOSHOWCASE 2024) yang akan berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Julai depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang berkata, industri bioekonomi mencatatkan prestasi hebat tahun ini yang mana setakat Mei lalu, sebanyak RM1.5 bilion pendapatan dan RM838 juta pelaburan baharu telah disumbangkan syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di negara ini.

Jelas beliau, dengan prestasi itu, kerajaan yakin jumlah sumbangan pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bernilai RM2 biilion menerusi sektor tersebut dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

“Ini menandakan kepercayaan yang tinggi dalam kemampuan Malaysia untuk menyumbang kepada kemodenan ekonomi berteknologi tinggi melalui bioteknologi.

“Kita yakin sasaran pelaburan baharu ini dapat dicapai berdasarkan beberapa pengumuman penting yang akan dibuat semasa acara ini termasuklah pencapaian hebat dalam salah satu sasaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang membabitkan perubatan jitu tempatan serta pertumbuhan lanjutan bidang biosimilar di Malaysia,” katanya.

Beliau berucap pada majlis prapelancaran program Pameran Bioekonomi Kebangsaan (NBiOSHOWCASE 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

NBiOSHOWCASE 2024 merupakan persidangan dan pameran industri bioteknologi dan berasaskan bio anjuran bersama Mosti dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) selaku penganjur utama.

Pameran selama dua hari itu akan melibatkan lebih 80 pempamer dan hampir 140 reruai dengan sasaran kehadiran kira-kira 4,000 orang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan pameran itu pada 17 Julai depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan, Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation, Nora Mohamed berkata, lebih 130 peluang pekerjaan bakal ditawarkan sepanjang penganjuran program tersebut.

Jelas beliau, peluang pekerjaan itu bakal ditawarkan oleh sebanyak 15 buah syarikat berstatus BioNexus serta syarikat industri bioteknologi dan berasaskan bio yang akan mengadakan sesi temuduga kerja secara terus (walk-in interview)’.

“Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai terutama pelajar sekolah, siswazah, graduan dan individu yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan pada pameran ini.

“Ia seperti pendedahan STEM kepada pelajar sekolah, bimbingan kerjaya graduan dan hala tuju kerjaya dan keusahawanan dalam bidang bioteknologi,” katanya. – MalaysiaGazzete

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here