Norlela bersama pegawai kanan Kastam menunjukkan rampasan mata wang bernilai hampir RM700,000 dari pengembara luar negara yang cuba di bawa ke Timur Tengah di KLIA1 pada 13 Jun lalu.

SEPANG – Seorang pengembara warga emas ditahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati cuba membawa keluar sejumlah mata wang ringgit dan dolar Singapura bernilai RM657,000 ke luar negara.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, suspekĀ  berusia 60 tahun dari negara jiran di selatan tanah air ditahan pada 13 Jun lalu oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan, Pegawai Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 Kastam Zon Tengah Unit III dan anggota petugas Keselamatan Penerbangan (AVSEC).

Suspek ditahan semasa pemeriksaan di kaunter Pemeriksaan Kastam Balai Pelepasan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA.

“Pada mulanya, pengembara itu membawa bersama sebuah bagasi telah selesai menjalani pelepasan Jabatan Imigresen di Balai Pelepasan.

“Ketika sedang melalui pemeriksaan Kastam di Kaunter Pemeriksaan Kastam, Balai Berlepas pegawai JKDM menemukan sejumlah mata wang Ringgit Malaysia berjumlah RM572, 563 dan mata wang dolar Singapura $24,500 (RM85,299) keseluruhannya berjumlah RM657,862 di dalam bagasi tangan miliknya,” katanya dalam sidang media di sini pagi hari ini.

Justeru siasatan lanjut mendapati pengembara asing itu gagal membuat pengikraran ke atas jumlah wang tunai yang dibawa keluar dari negara ini sekaligus melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

Tambah Norlela, peraturan itu menyatakan pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrument boleh niaga keluar dari Malaysia perlu mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam sekiranya amaun tunai bersamaan atau melebihi nilai USD$10,000.

“Selain itu kelulusan dari Bank Negara Malaysia bagi mata wang ringgit juga perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum membawa keluar dari Malaysia.

“Siasatan kami mendapati pengembara ini menggunakan modus operandi membawa keluar wang tunai secara hand carry secara berseorangan tanpa ikrar.

“Malah pengembara itu juga merupakan masih bekerja sebagai pengarah syarikat di luar negara dan mahu meneruskan penerbangan ke Timur Tengah,” ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya sedang meneruskan siasatan sumber perolehan wang tersebut oleh suspek dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLAFTPUAA) 2001.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dedenda maksimum RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here