Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut mengenai peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah ketika ditanya media mengenai itu hanya berseloroh; “Tunggu saya berlari dahulu”.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya berkata demikian selepas melancarkan Koperasi Gabungan Pemandu-Pemandu Ahli Parlimen Malaysia (GPMP) Berhad di Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan inisiatif Langkah Muar sebagai tanda protes terhadap kerajaan berikutan menafikan peruntukan bagi Parlimen pembangkang.

Sehingga hari ini, Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah mendapat sumbangan dari lebih 2,000 penyumbang berjumlah RM160,000.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kerajaan telah ‘melencongkan’ peruntukan yang sepatutnya diterima ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Beliau mendakwa peruntukan berkenaan dilencongkan dengan menyalurkannya kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) itu juga mendakwa tiada laporan audit dilakukan oleh penerima peruntukan itu seperti yang dilaksanakan oleh pihaknya selama ini.

Media sebelum ini melaporkan, draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang sedang dirangka akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Fadillah dilaporkan berkata, draf MoU itu akan diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here