Anggota JPJ memeriksa keadaan sebuah bas pelancong ketika Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak. Foto SADIQ SANI, 2 JULAI 2024

GOMBAK – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan ke atas bas persiaran dan ekspres dalam Operasi Bersepadu Khas di Stesen Pemeriksaan JPJ Gombak di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak hari ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Penguatkuasa Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara kesalahan melibatkan pemandu kenderaan tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).

“Kita turut mengesan kesalahan teknikal lain seperti tayar, brek dan lampu serta sebuah bas ekspres yang diubah suai. Kita juga mengesan sebuah bas ekspres yang tiada pemandu bas kedua dan seorang pemandu bas persiaran disaman kerana kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya dalam kenyataan terkini hari ini.

Tambah Muhammad Kifli, operasi sama juga melibatkan pemeriksaan sebanyak 68 bas persiaran dan 25 bas ekspres sepanjang operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Daripada jumlah kenderaan itu, sebanyak 10 bas persiaran dan 12 bas ekspres dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan atas jalan raya manakala MOTAC mengesan enam bas persiaran yang tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.

“Manakala seramai 49 pemandu telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan seramai tiga pemandu daripadanya yang berusia 30-50an disahkan positif dadah terlarang dan ditahan untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” ujarnya.

Operasi yang akan diteruskan selama sebulan sehingga 31 Julai ini membabitkan seramai 70 orang pegawai dan anggota mencakupi agensi penguat kuasa lain termasuk polis dari Bukit Aman dan MOTAC.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here