Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak dibenarkan berhujah dalam prosiding Badan Peguam Malaysia bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Untuk makluman semakan kehakiman itu berkaitan Badan Peguam mencabar pengurangan hukuman penjara dan denda yang sedang dihadapi Najib ketika ini.

Sepatutnya pada prosiding hari ini mahkamah mendengar permohonan Badan Peguam untuk mengemukakan hujahan secara ex-parte atau sebelah pihak bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Hakim yang mendengar bicara, Ahmad Kamal Md Shahid hari ini membenarkan permohonan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mengemukakan hujahan pada peringkat kebenaran.

Muhammad Shafee memohon untuk dibenarkan turut sama menyertai prosiding dan berhujah, selepas peguam mewakili Badan Peguam, Zainur Zakaria mengemukakan hujahnya.

Hujah Muhammad Shafee, tindakan beliau itu kerana kes itu berkepentingan awam.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi pendengaran permohon kebenaran semakan kehakiman difailkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2024.

Bagaimanapun, Zainur membantah dengan memberitahu mahkamah Muhammad Shafee tidak boleh menyertai prosiding pada peringkat kebenaran namun boleh berhujah dalam semakan kehakiman.

Hakim kemudian memberi masa tiga minggu kepada Muhammad Shafee untuk memfailkan hujahan dan sebelum menangguhkan prosiding kepada 18 September depan.

Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta pada Februari awal tahun ini.

Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden pertama dan kedua pada 26 April lepas.

Dalam permohonan itu, badan tersebut memohon injunksi kekal menghalang Najib mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada Lembaga Pengampunan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here