Onn Hafiz mengadakan perbincangan dengan wakil agensi dan kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Johor akan mengadakan operasi membersih serta menyelenggarakan longkang dan parit secara besar-besaran di seluruh negeri ini bermula di daerah ini bertujuan mengatasi masalah banjir kilat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu perlu diambil kerana banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar kebiasaannya berpunca daripada longkang, sistem perparitan dan saliran tidak diselenggara dengan baik.

Jelas beliau, perkara itu dibincangkannya semasa perjumpaan bersama-sama semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana di sini semalam.

“Pihak yang terlibat dalam perbincangan itu seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta syarikat-syarikat konsesi.

“Mereka akan berjumpa dengan saya setiap bulan bagi melaporkan perkembangan. Saya menggesa semua pihak agar memainkan peranan dan memikul tanggungjawab ini sebagai satu pasukan,” ujarnya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook hari ini.

Menteri Besar Johor itu mahu semua pihak serius dengan setiap aduan yang diterima agar masalah seperti longkang tersumbat, rosak serta penuh dengan semak samun dan sampah sarap diselesaikan segera.

“Saya juga menyeru kepada semua Bangsa Johor agar jagalah kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata.

“Semua komuniti masyarakat bersama-samalah kerajaan negeri agar kita dapat membangunkan negeri Johor yang bersih dan selesa demi kemaslahatan bersama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here