Gambar hiasan.

SHAH ALAM -Seorang pelawak dan isterinya ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini.

Pasangan warga tempatan berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di Balai Polis Seksyen 9, di sini, kira-kira jam 7 petang semalam.

Polis turut merampas telefon bimbit daripada pasangan itu untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, kedua-dua individu itu telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini dan telah dibenarkan direman selama dua hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pasangan itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi turut mengesahkan tangkapan pasangan tersebut.

Sebelum itu, tular di aplikasi Telegram berkaitan gambar pada program lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here