NIBONG TEBAL – Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di negeri itu tidak hanya berpeluk tubuh apabila diangkat sebagai wakil rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua sebaliknya berusaha dengan pelbagai cara dalam memastikan penduduk di kawasan yang diwakili menerima bantuan meskipun peruntukan untuk pembangkang terhad.
“Kita tahu wakil rakyat (kerajaan negeri) dapat peruntukan sehingga RM300,000 (setahun) dan kami (wakil rakyat pembangkang) hanya dapat peruntukan infrastruktur sebanyak RM60,000.
“Namun kami tidak berpeluk tubuh (mencari dana) dan berusaha dengan pelbagai pihak untuk bagi bantuan serta insentif (kepada kawasan penduduk yang diwakili) antaranya dalam program Back To School semasa Ramadan lalu bagi hamper dan bakul makanan kepada golongan memerlukan termasuk segala bantuan lain mengikut kemampuan yang ada.
“Sekarang ini kami ada 10 wakil rakyat (PN) dan insya-Allah 11 dengan kedatangan Abidin (jika menang PRK Sungai Bakap) yang kita akan bekerja dengan amanah serta membawa suara rakyat ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman manifesto PN sempena PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Halaman Indah di sini hari ini.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN.
Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette