Lelaki disyaki penagih dadah ditumpaskan selepas bertembung dengan kenderaan polis di Dengkil semalam. Gambar iIhsan IPD Sepang.

KUALA LUMPUR – Aksi polis mengejar ala Hollywood  antara seorang lelaki disyaki penagih dadah dan kenderaan peronda MPV polis berlaku di Jalan Cyberjaya-Dengkil semalam.

Bagaimanapun aksi berkenaan berakhir dengan kemalangan dan suspek berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, semasa kejadian sekitar 9.30 malam itu, anggota polis dalam rondaan di Jalan Cyberjaya-Dengkil terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna putih yang mencurigakan.

Anggota polis mengarahkan suspek untuk memberi kerjasama dengan memberhentikan keretanya untuk membolehkan pemeriksaan susulan dilakukan.

“Bagaimanapun suspek dikenal pasti sebagai warga tempatan tidak mengendahkan arahan anggota polis itu dan bertindak memecut laju kenderaan bagi melarikan diri.

“Tindakan suspek itu mengakibatkan anggota polis peronda itu bertindak mengejar kenderaan tersebut sejauh tiga kilometer sehingga ke Jalan Kita Impian, Cybersouth Dengkil.

“Semasa aksi mengejar itu berlaku kemalangan antara kenderaan MPV polis dan juga kenderaan yang dipandu oleh supek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, akhirnya pihaknya berjaya menahan lelaki berkenaan yang cuba meloloskan diri.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Justeru, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati individu itu disahkan positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine serta benzo,” uajrnya.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cuba menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas yang membawa kepada hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here