Rumah Amal Bukit Harapan menerima sumbangan RM3,000 yang dijana menerusi penganjuran acara larian 7KM Campus Run.

KOTA KINABALU – Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) bersama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Sabah Chapter telah mengadakan program larian “7KM Campus Run” bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan, di samping menjana dana kebajikan bagi membantu pertubuhan amal terpilih.

Program larian di sekitar kampus UMS itu mendapat sambutan baik apabila kira-kira 890 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, pelajar universiti, kolej dan politeknik, dan orang awam dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian.

Program yang bermula seawal jam 6 pagi itu melibatkan larian sejauh 7KM bermula dari Dataran Dewan Canselor UMS dan merentasi jalan ke Dewan Resital, simpang berhampiran Galeri Azman Hashim, Jalan Canselori, mengelilingi Jalan Masjid, sebelum merentasi ke Bulatan Menara Jam UMS melalui Jalan Banjaran dan berakhir semula di Dataran Dewan Canselor.

Perasmian penutupan program larian tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah, Peto Galim yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Dalam ucapannya, beliau memuji kolaborasi antara PPUMS dan PAM Sabah Chapter dalam menjayakan program tersebut

“Acara sukan larian seperti ini bukan hanya memberikan faedah fizikal, malah memupuk nilai-nilai penting seperti disiplin, kerjasama dan kecekalan mental.

“Ini membantu kita membentuk aspek kepimpinan yang berdaya saing dengan memahami kejayaan datang melalui usaha gigih, komitmen dan kecekalan,” katanya.

Beliau menambah, melalui perkongsian tersebut bukan hanya berjaya menganjurkan acara sukan yang berkualiti, tetapi turut menyampaikan mesej tentang kepentingan pemeliharaan kesihatan dan kebajikan masyarakat secara lebih meluas.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut merakamkan penghargaan kepada PPUMS, PAM Sabah Chapter, penaja-penaja serta sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut.

“Sokongan ini telah membolehkan kita bukan sahaja menganjurkan acara ini dengan jayanya, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat melalui sumbangan yang dikumpulkan.

“Marilah kita terus menyokong antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk kesihatan yang baik dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Peto turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Rumah Amal Bukit Harapan, serta menyampaikan hadiah kemenangan kepada peserta larian dari pelbagai kategori. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast