Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Pra Pelancaran Pra Tahfiz KEMAS di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JULY 2024.

NIBONG TEBAL – UMNO yakin pendekatan bersesuaian yang dilaksanakan mampu menarik golongan muda untuk memilih calon kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil ( PKR) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun golongan muda mungkin mempunyai sentimen tertentu namun perdekatan yang dilakukan kerajaan Perpaduan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Bagi anak-anak muda (kita) telah ada program-program tertentu yang dilaksanakan.

“Mereka mungkin bersentimen sebaliknya, tetapi apabila perdekatan dilakukan dengan kaedah yang terbaik dan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Saya fikir akhirnya pada hari pengundian mereka akan mengundi calon (Joohari) sebagai wakil rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang di Perda Tech di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid turut yakin Joohari akan memenangi PRK Sungai Bakap yang berbaki tiga hari lagi.

“UMNO mempunyai lebih 5,000 ahli di Sungai Bakap dan jentera parti juga akan memberi tumpuan kepada ahlinya agar memberi sokongan dan undi kepada calon kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini  sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here