Pelakon, Aliff Aziz bercakap kepada wartawan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon Aliff Aziz mengakui dia sedih apabila ibunya iaitu Siti Hafiza menjadi sasaran kecaman netizen di media sosial gara-gara kontroversi membabitkan beliau dengan Ruhainies.

Enggan melibatkan keluarganya, Aliff atau Mohamad Aliff Aziz meminta orang ramai supaya menjaga tutur kata dalam melemparkan sesuatu pandangan atau berdiam diri sekiranya tiada keperluan untuk menulis apa-apa.

“Kekurangan pada saya ialah meletakkan ibu dalam posisi begini. Mestilah sebagai anak saya amat sedih dan kecewa dan kami juga manusia biasa yang melakukan kesilapan dan ada perasaan.

“Semua ada pendapat masing-masing namun berpada-padalah dalam mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak baik,” katanya.

Aliff ditemui selepas sebutan kes khalwat melibatkan beliau dengan aktres Ruhainies di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

Kedua-dua mereka megaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Kes akan disebut semula pada 12 Oktober depan dan bon jaminan untuk kedua-duanya juga dikekalkan.

Pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

Pada 9 Mac lalu, Aliff, 33, yang ketika itu berstatus suami orang dan Ruhainies, 31, yang masih solo ditangkap atas dakwaan khalwat di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.

Tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam ketika asangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu dan ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.

Kes itu telah memberi kesan kepada rumah tangga Aliff apabila dia dan isteri iaitu Bella Astillah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.

Mengulas perkembangan hidupnya kini, bapa kepada dua anak itu memberitahu, dia lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga di Singapura dan enggan terburu-buru meneruskan kerja seni.

“Sekarang saya ambil masa untuk rehatkan emosi dan mental. Banyak luangkan masa bersama keluarga. Perlahan-lahan kembali membina semangat.

“Bukannya tolak atau tiada sebarang tawaran kerja, cuma saya cuba asingkan diri dan tidak terburu-buru memilih tawaran kerja,” katanya.

Pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

Sementara itu, Aliff memberitahu, dia enggan memberikan sebarang komen berkaitan bekas isterinya kerana bimbang disalah anggap oleh segelintir pihak.

“Hal-hal lain saya tak mahu cakap kerana bimbang ada pihak manipulasi,” jelasnya.

Aliff dan Bella sah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Pasangan ini pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali berlaku curang namun kembali rujuk ketika dalam tempoh edah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here