Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan perbincangan sama ada jawatankuasa itu ingin memulakan prosiding berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat berkaitan BlackRock Inc.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan setelah ia dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

“Saya tak mendengar perkara itu kerana saya berada dalam bilik prosiding tetapi saya akan membawa perkara ini kepada mesyuarat PAC untuk dibincangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Awal hari ini, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa agar sebarang penjualan saham aset strategik negara perlu dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, ia bagi mengelak sebarang keputusan hanya dibuat oleh seorang individu seperti mana kegagalan yang berlaku dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati belum menerima permohonan rasmi daripada Wan Ahmad Fayhsal namun berpandangan ia adalah isu yang perlu dibawa ke meja perbincangan PAC.

“Saya tidak menerima permohonan rasmi dari Wan Ahmad Fayhsal sendiri mengenai perkara itu. Sebaliknya, kenyataan Ahli Parlimen Machang mengenai isu BlackRock itu dimaklumkan kepada saya oleh beberapa ahli Parlimen lain,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Wan Ahmad Fayhsal secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya menggesa PAC panggil mereka semua untuk terangkan kepada kami kenapa jual saham ini kepada BlackRock dan Global Infrastructure Partners (GIP),” katanya pada Isnin lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast