KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan audit dalaman berikutan isu dua sistem pengurusan pekerja asing yang telah didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, arahan telah diberikan kepada Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud untuk menjalankan audit dalaman supaya proses imbangan boleh dilaksanakan.
“Saya yakin pembaharuan yang telah dilakukan dalam tempoh enam bulan ini telah menunjukkan penambahbaikan terutamanya dari segi pengurangan proses birokrasi.
“Kita perlu hapuskan segala ruang bukan sahaja untuk orang dalaman tetapi juga orang luar yang ingin mengambil kesempatan ke atas proses ini serta semua proses dalam kementerian,”katanya dalam Majlis Penyerahan Tajaan Caruman Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang menjalankan fungsi yang sama pada tahun 2015.
Ia menyebabkan berlakunya percanggahan kerja antara dua agensi iaitu Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh KESUMA dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain itu, PAC juga mendapati dua Dokumen Pengenalan (ID) dalam sistem FWCMS yang bukan terdiri daripada kalangan pegawai KESUMA serta 24 pengguna tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan 24 permohonan majikan melalui sistem itu.
Mengulas lanjut, Steven berkata beliau sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk PAC, jika penjelasannya diperlukan.
“Saya percaya laporan polis sudah pun dibuat, jadi saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa, termasuk PDRM dan SPRM,” tambahnya. – MalaysiaGazette