Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lelaki menjadi antara mangsa daripada 2,794 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) bermula 2021 hingga 2023.

Bagaimanapun, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri tidak memperincikan jumlah mangsa lelaki kes keganasan rumah tangga itu.

“Berdasarkan statistik JKM, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga telah diterima ini dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara. Kes ini meliputi mangsa lelaki dan juga wanita.

“Daripada jumlah tersebut, 773 kes adalah dilaporkan di negeri Selangor, dengan 81 kes dilaporkan di daerah Klang,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau (Pakatan Harapan) meminta kerajaan mengemukakan statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di kawasan Klang dari 2021 hingga 2023 mengikut pecahan kaum dan kumpulan ekonomi.

Sementara itu Nancy berkata, KPWKM dengan agensi sentiasa bergerak seiring dalam melaksanakan inisiatif bagi menangani kes keganasan rumah tangga.

Katanya, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysai (PDRM) dalam usaha meningkatkan kesedaran berhubung isu berkenaan.

“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri. Ada Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang merupakan platform pemantauan dan penyelarasan usaha menangani isu ini.

“Dari sini kita dapat mendengar apa yang menjadi masalah dan cabaran yang kita boleh perbaiki.

“Sementara itu, peruntukan undang-undang sedia ada sememangnya bersifat mesra dan melindungi mangsa,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) tentang adakah kerajaan bercadang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang supaya perlindungan komprehensif kepada mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast