KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) disyor mengkaji keperluan untuk menjadikan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebagai badan berkanun demi memastikan tadbir urus yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia bagi memastikan tata kelolanya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Katanya, syor tersebut demi penambahbaikan terhadap KESUMA selaku kementerian yang bertanggungjawab terus terhadap HRD Corp.
Selain itu katanya, ALP HRD Corp perlu mengkaji semula kaedah pemindahan levi ke tabung unutilised levy untuk memastikan kepentingan PKS dipelihara.
“HRD Corp perlu mengambil langkah proaktif mencari alternatif bagi PKS untuk menggunakan wang caruman sebelum dikategorikan sebagai unutilised levy.
“HRD Corp harus menumpu dengan lebih proaktif kepada disbursement of training funds untuk memastikan pembangunansumber manusia dan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program-program latihan yang lebih menyeluruh serta tertumpu dan tidak hanya bersifat generik.
“HRD Corp perlu memastikan setiap aktiviti pelaburan dipantau oleh panel pelaburan dan ALP HRD Corp dengan lebih telus dan teratur.
“Panel pelaburan wajib melaporkan aktiviti pelaburan kepada Lembaga Pengarah apabila diminta seperti yang termaktub dalam Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 dan bukan hanya kepada Pengerusi ALP,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media berkenaan Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad [Human Resource Development Corporation (HRD CORP)] Di Bawah KESUMA.
Terdahulu beliau berkata, prosiding siasatan mendapati HRD Corp membuat pelaburan pelbagai aktiviti menggunakan wang levi seperti put and call option.
Jelasnya, dalam masa sama jawatankuasa tersebut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan HRD Corp.
Katanya, sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
“Perlu diingatkan bahawa HRD Corp bukanlah sebuah institusi pelaburan, namun PAC mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti put and call option. Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada risiko kerugian yang besar.
“Selain itu, PAC juga mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan HRD Corp seperti tadbir urus dan tata kelola yang lemah, kaedah perolehan dan pembelian hartanah yang mencurigakan atau mendatangkan kerugian kepada HRD Corp,” katanya lagi.
Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, PAC membuat keputusan menyiasat HRD Corp dengan memulakan prosiding
demi memastikan pengurusan dana latihan yang dikutip HRD Corp melalui kutipan levi daripada majikan mencapai objektif yang ditetapkan dibawah Akta PSMB 2001.
Menurut beliau, seramai 22 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan antaranya kepada jawatankuasa itu.-MalaysiaGazette