Tertuduh wanita, M.B Vikneswary, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melupuskan barang curi kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM100,000, Mei lalu.

MELAKA – Seorang pengarah syarikat barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melupuskan barang curi kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM100,000, Mei lalu.

Tertuduh, M.B Vikneswary, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja melupuskan harta wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi.

Kesalahan itu dilakukan dalam daerah Melaka Tengah pukul 3 petang 15 Mei 2024.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Peguam Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh menanggung dua anak dan ibu yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast