Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi menangani penipuan dalam talian yang melibatkan akaun keldai pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kesalahan baharu melibatkan pemilik akaun bank yang membenarkan pihak lain menggunakan akaunnya sebagai transit penipuan dalam talian.

Terdahulu katanya, perundangan yang sedia ada tidak membenarkan pihak polis menyekat pergerakan wang mangsa menerusi akaun keldai yang digunakan.

“Disebabkan kelompongan inilah, dalam aspek perundangan dan keperluan mendesak melindungi semua lapisan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan alam talian, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Tata Cara Jenayah Akta 593 bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian berkaitan engan akaun keldai secara komprehensif dan berkesan.

“Dalam hal ini cadangan pindaan yang dipertimbangkan mewujudkan kesalahan baru berkaitan mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan orang lain tapi kuasa yang sah bagi tujuan sah bagi menangani isu keldai serta memberikan kuasa kepada pegawai penyiasat untuk mengarahkan penyitaan bank yang disyaki terlibat dengan jenayah siber,” katanya Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara A/L Rajaji (PH) yang bertanya mengenai status penggubalan perundangan berkenaan kesalahan berhubung dengan akaun keldai serta bagaimanakah perundangan ini dapat menangani peningkatan penipuan kewangan dalam talian yang membimbangkan dalam negara berikutan perkembangan teknologi moden.

Mengulas lanjut Azalina berkata, kebanyakan aktiviti penipuan dalam talian atau scam yang digerakkan menerusi akaun keldai yang dijadikan transit meletakkan wang mangsa sebelum dipindahkan ke akaun lain.

Jelasnya, siasatan polis menjadi lebih sukar apabila pemilik akaun kebiasaannya tidak mengenali pihak ketiga yang menyalahgunakan akaun bank mereka.

“Apabila siasatan dijalankan terhadap pemilik akaun-akaun ini, didapati akaun mereka telah disewakan atau diberi akses kepada orang lain secara sukarela atau sebaliknya,” katanya.

Menurut Azalina, sebanyak RM2.651 bilion kerugian wang akibat kes penipuan direkodkan daripada 2022 sehingga Jun 2024.

“Didapati juga terdapat peningkatan kerugian secara keseluruhan sebanyak 43.20 peratus bagi tahun 2022 iaitu RM851 juta kepada RM1 bilion bagi 2023, manakala kerugian bagi 2024 (berjumlah) RM581 juta.

“(Berkaitan pulangan wang), cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan ini akan membenarkan pihak polis untuk menghalang wang mangsa penipuan jenayah dalam talian daripada dikeluarkan atau digunakan.

“Ia juga akan memudahkan pihak polis melakukan pengesanan wang bagi mengenal pasti wang mangsa yang ditipu secara tidak langsung ia membuka wang untuk pemulangan wang-wang ini kepada mangsa-mangsa,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast